SIBU: Kerajaan Sarawak memberi perhatian serius kepada pembangunan pelabuhan sebagai pendukung kepada sektor perindustrian di negeri itu.
Ini dibuktikan dengan peruntukan dana RM78 juta untuk industri pelabuhan yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dalam Belanjawan Negeri 2020 minggu lalu.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata dana RM78 juta itu akan digunakan untuk melaksanakan tiga projek utama.
“Projek itu adalah RM8 juta untuk kajian pelan induk Pelabuhan Laut Dalam di Tanjung Po, RM30.5 juta untuk naik taraf sistem pengurusan trafik kapal di Kuching dan RM40 juta pula diluluskan untuk menaik taraf keselamatan navigasi pelayaran ke Pelabuhan Tanjung Manis dan Rajang.
“Kementerian sangat berterima kasih atas kesanggupan kerajaan negeri menaik taraf fasiliti dan mesin yang semakin uzur ini. Kita mesti memastikan pelabuhan menyediakan perkhidmatan terbaik seiring dengan fasiliti yang ditambah baik itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Lembaga Pelabuhan Rajang (LPR) di sini, malam tadi.
Mengenai pengecualian sistem kabotaj yang menyasarkan untuk menurun harga barang namun masih belum terbukti berkesan, beliau berkata, kerajaan negeri sudah memohon Kerajaan Persekutuan untuk menyemak kembali pelaksanaan pengecualian sistem itu disamping menjalankan kajian mendalam impak pelaksanaannya.
“Ini penting untuk mengelak kerosakan kekal kepada industri perkapalan dan pembinaan kapal negeri.
“Pengecualian sistem kabotaj nanti akan menyaksikan penyertaan syarikat luar dalam industri kapal pengangkut kontena meningkat pada tahun mendatang,” katanya.
Dasar Kabotaj adalah sebuah dasar perkapalan kargo yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 1990 melalui pindaan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Dengan adanya dasar ini, Malaysia mengenakan syarat kepada syarikat perkapalan tempatan dan antarabangsa supaya menghantar barangan ke Pelabuhan Klang terlebih dulu sebelum ia diedarkan ke pelabuhan lain dengan menggunakan kapal kargo tempatan.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Rajang, Datin Helen Lim Huo Shyan mengumumkan LPR berjaya mencatatkan pertumbuhan lima peratus tahun ini dalam perniagaan pengendalian kontena yang menjadi perniagaan terasnya.
“LPR juga berjaya mengubah kerugian RM2.5 juta tahun lalu kepada keuntungan berjumlah RM1.3 juta setakat Oktober tahun ini,” katanya.